Daripada Abu Hurairah ra, bahawa Rasulullah SAW bertanya: “Tahukah kamu
siapakah sebenarnya orang muflis itu?” Sahabat menjawab: “Sesungguhnya
orang muflis dalam kalangan kami adalah orang yang tidak memiliki wang
dan harta.”
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang
muflis dalam kalangan umatku ialah orang yang nanti pada hari kiamat
datang dengan membawa pahala solat, puasa dan zakat. Di samping itu, dia
juga pernah mencaci maki si polan ini, menuduh si polan, memakan harta
si polan ini, menumpahkan darah si polan ini dan memukul si polan ini.
Maka si polan ini akan diberinya pahala kebaikan orang itu. Kemudian
jika pahala kebaikannya itu habis sebelum mencukupi apa yang menjadi
tanggungannya, maka dosa orang yang dizalimi itu akan diambilnya untuk
dipikul kepada orang yang menzaliminya, kemudian sesudah itu barulah dia
dilemparkan ke dalam api neraka.” (Riwayat Muslim)
Demikianlah dialog menarik antara Rasulullah SAW dengan sahabat yang
diriwayatkan Imam Muslim mengenai orang yang muflis. Sahabat menjawab
pertanyaan Rasulullah SAW mengenai siapakah yang dimaksudkan dengan
orang muflis itu. Mereka berkata, “Sesungguhnya orang yang muflis dalam
kalangan kami ialah orang yang tidak memiliki wang dan harta.”
Orang yang rugi
Itu adalah persepsi umum, iaitu orang muflis itu, orang yang
kerugian sehingga kehabisan wang dan hartanya. Namun ia berbeza dengan
sabda Rasulullah SAW berdasarkan hadis di atas. Dosa orang muflis itu
dianggap perbuatan mazmumah dan Rasulullah SAW menjelaskan seperti
berikut:
Pertama, mencaci maki orang lain. Bila seseorang mencaci-maki orang
lain, biasanya akan keluarlah kata-kata yang tidak senonoh dari mulutnya
sehingga mengakibatkan hilangnya harga diri orang itu.
Padahal, harga diri seseorang manusia dalam Islam sangat dimuliakan.
Apabila seseorang manusia merendahkan dan melecehkan harga diri
seseorang yang lain, dia pada hakikatnya melampaui kekuasaan Allah SWT.
Hal ini kerana Allahlah saja yang paling berhak merendahkan manusia yang menyekutukan-Nya.
Allah berfirman bermaksud: “Mereka bersikap bakhil kedekut terhadap
kamu (wahai orang mukmin untuk memberikan sebarang pertolongan); dalam
pada itu apabila datang (ancaman musuh yang menimbulkan) ketakutan,
engkau melihat mereka memandang kepadamu (wahai Muhammad, meminta
pertolonganmu) dengan keadaan mata mereka berputar seperti orang yang
pengsan ketika hampir mati. Kemudian apabila hilang perasaan takut itu,
mereka mencela kamu dengan lidah yang tajam, sambil mereka tamakkan
kebaikan (yang diberikan Allah kepada kamu). Mereka itu tidak beriman,
lalu Allah gugurkan amal-amal mereka dan yang demikian itu adalah mudah
bagi Allah melaksanakannya.” (Surah al-Ahzab, ayat 19)
Kedua, menuduh orang lain. Fitnah adalah amalan paling keji kerana
fitnah lebih kejam daripada membunuh. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana saja kamu
dapati mereka, dan usirlah mereka dari tempat yang mereka mengusir kamu;
dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada
pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar masjid
al-Haram sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau mereka
memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi
orang yang kafir”. (Surah al-Baqarah, ayat 191).
Memakan harta orang lain
Ketiga, memakan harta orang lain. Perbuatan ini menimbulkan banyak
mudarat kepada pihak lain, apatah lagi harta itu diambil dengan cara
kasar, tidak benar dan tanpa berperasaan, termasuk amalan rasuah,
lebih-lebih lagi merampas harta anak yatim adalah perbuatan yang amat
dimurkai Allah SWT.
Ini adalah satu peringatan kepada pemegang amanah dana atau harta umat
Islam terutama harta anak yatim, seperti firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang yang memakan harta anak yatim secara zalim,
sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan
mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala”. (Surah
al-Nisa’, ayat 10)
Keempat, membunuh orang lain. Islam sangat memuliakan manusia sehingga
nilai nyawa seseorang sangat tinggi di sisi Allah SWT. Membunuh seorang
manusia adalah sama dengan membunuh semua manusia di seluruh alam
semesta ini. Allah SWT berfirman bermaksud: “Dengan sebab (kisah
pembunuhan kejam) yang demikian itu, kami tetapkan atas Bani Israil,
bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan
yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan
di muka bumi, maka seolah-olah dia membunuh manusia semuanya; dan
sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah
dia menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya,
telah datang kepada mereka rasul-rasul kami dengan membawa keterangan
yang cukup terang; kemudian, sesungguhnya kebanyakan daripada mereka
sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang yang melampaui batas
(melakukan kerosakan) di muka bumi.” (Surah al-Maidah, ayat 32)
Kelima, memukul atau menganiayai orang lain. Islam sangat menjunjung
tinggi jalinan persahabatan dan ikatan persaudaraan antara sesama
manusia. Islam menolak permusuhan dan perbalahan sehingga terjadinya
penganiayaan baik menghina mahupun memukul seseorang.
sumber dari :
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Jauhiazabmuflisdiakhirat
No comments:
Post a Comment