SEJARAH dan peristiwa wajib disimpan serta dibukukan. Jika tidak diabadikan dalam bentuk cetak, pasti khazanah luput ditelan masa. Paling rugi tentunya generasi akan datang kerana tidak berpeluang mengenali susur galur bersama peradabannya.
Kompleks ini bukan baru, pembinaannya diilhamkan bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib pada 1990.
Terletak kira-kira 80 kilometer dari bandar raya Ipoh, kompleks di bawah pentadbiran Kampung Gajah ini ditubuhkan bagi mengumpul, menyelidik, memulihara, mempamer seterusnya menerbitkan bahan pameran sejarah perjuangan patriotisme dan nasionalisme rakyat Perak di samping membantu usaha kerajaan negeri memperhebat sektor pelancongan.
Tunjang tarikan di kompleks ini adalah Terowong Sejarah yang menempatkan 42 diorama menarik untuk dihayati. Konsep terowong ini adalah untuk mengungkap perkembangan sejarah tanah air yang diadun mengikut kronologi masa serta peristiwa, disusun atur sepanjang laluan.
“Pencinta sejarah tidak patut melepaskan peluang berkunjung ke tempat ini, hayati diorama ukiran kayu unik yang menyorot peristiwa penting negara bermula daripada penempatan awal di Muara Sungai Selinsing, Perak pada tahun 200 Sebelum Masihi.
“Ada juga sejarah berkaitan pengasas Kesultanan Melaka, Johor dan Perak, penentangan terhadap penjajah British, gerakan menuntut kemerdekaan sehingga kemakmuran Perak hari ini,” kata Ramli kepada media yang mengikuti program menyoroti keunikan daerah di Perak itu, baru-baru ini.
Pengunjung pasti terpesona menyaksikan keistimewaan figura manusia, ilham pengukir mahir tempatan dan Thailand yang diserlahkan menerusi mimik wajah dibuat begitu halus serta terperinci. Ia daya tarikan di bangunan yang dibentuk seperti terowong berkeluasan 157 kaki panjang serta lebar 115 kaki ini.
Barisan diorama tersusun di terowong berkenaan yang dipercayai paling banyak di rantau ini turut memaparkan episod perjuangan menentang ketuanan Inggeris serta zaman pendudukan Jepun di negeri lain di Tanah Melayu, Sabah serta Sarawak.
Bangunan sama turut menempatkan Galeri Keris yang mempamerkan koleksi 180 keris dari Kepulauan Melayu Nusantara yang diwujudkan bagi memberi kefahaman kepada rakyat mengenai sejarah dan identiti sebenar senjata itu sejak zaman berzaman.
Ramli yang juga bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, berkata pengunjung turut berpeluang mengenali sejarah dan keistimewaan keris, senjata warisan kebangsaan orang Melayu itu dengan mengunjungi galeri berkenaan.
“Selain mendedahkan fungsi serta kegunaan keris, galeri ini diwujudkan atas daya usaha untuk memperlihatkan keindahan dan keunikan seni reka serta seni tempa keris dalam rumpun Melayu. Pada zamannya, keris senjata mempertahankan diri, kini ia dianggap sebahagian warisan budaya selain simbol penyatuan bangsa,” katanya.
Penolong Kurator Kompleks Sejarah Pasir Salak, Mohd Fauzi Mohd Razali, berkata selain koleksi milik muzium, ada juga khazanah dipamerkan di kompleks berkenaan diserah dan diwasiatkan oleh individu tertentu yang enggan menyimpannya lagi.
“Kebanyakannya diwarisi secara turun temurun dan pemilik baru tidak lagi berminat ‘menjaga’, lalu diserahkan kepada kami,” ujarnya.
Selain pelbagai jenis dan bentuk keris pusaka yang dipamerkan dalam kotak kaca, pengunjung turut disajikan maklumat asal usulnya, penetapan bilangan luk yang merujuk status pemilik serta fungsi senjata berkenaan.
Turut diterangkan adalah makna di sebalik corak serta motif pada mata keris, kaedah penjagaan, kepercayaan lama berkaitan keris sehingga kepada perkakasan serta dapur khas yang digunakan bagi membentuk senjata berkenaan.
Pesona kompleks berkenaan bukan setakat itu saja, bahkan turut menghimpunkan pelbagai tarikan lain seperti tapak Residen British, JWW Birch dibunuh serta kubur individu yang dikatakan bertanggungjawab menamatkan riwayat pegawai Inggeris itu, Si Puntum.
Terlanjur ke kompleks ini, jangan sesekali lepaskan peluang melawat dan mendapatkan maklumat mengenai rumah Kutai (sebutan penduduk tempatan bermaksud lama atau tua) melalui artifak yang mencerminkan sejarah serta kebudayaan silam selain Pentas Belotah, Tugu Lela Rentaka, Tugu Pahlawan Perak dan banyak lagi.
Info
Kelengkapan di Kompleks Sejarah Pasir Salak
Monumen dan prasarana
* Rumah Kutai I dan II
* Tugu Peringatan Birch
* Tugu Peringatan Pahlawan Perak
* Tugu Lela Rentaka
* Tapak Birch dibunuh
* Terowong Sejarah
* Galeri Keris
* Galeri Sejarah Menteri Besar Perak
* Pentas Belotah
* Dewan Serbaguna
* Menara Pandang
* Jam Suria
* Sampan Perak
Bahan pameran
Di Rumah Kutai I dan II
* Salinan dokumen berkaitan peristiwa Pasir Salak
* Senjata (golok, pedang, lembing, parang, replika senapang dan lain-lain.
* Alat pengangkutan air (perahu Sagor, sampan Perak)
* Perabot rumah
* Peralatan tembaga
* Pakaian
* Peralatan pertanian
* Tekatan
* Alat bunyian
* Manuskrip
* Model bangunan (tandas rakit, balai gambang)
Waktu Lawatan
Isnin-Ahad: 9.30 pagi-5 petang
Jumaat : 9.30 pagi-12 tengah hari/2.45 petang-5 petang
Ditutup : Aidilfitri dan Aidiladha
Bayaran Masuk
Dewasa: RM4
Kanak-kanak 7-12 tahun: RM2
Cara ke sana
Dari Lebuh Raya Utara-Selatan, keluar di Tol Simpang Pulai, pandu terus ke Batu Gajah sebelum menghala ke arah Kampung Gajah. Ikut papan tanda ke arah Kompleks Sejarah Pasir Salak.
Pusat Maklumat
Pejabat Kompleks Sejarah Pasir Salak: 05-6311462 / faksimili 05-6313246.
sumber dari : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KhazanahsemangatMelayu/Article/
No comments:
Post a Comment