PISANG sering menjadi pencuci mulut di negara ini. Secara amnya,
kandungan potasium pisang menyebabkan ia disyorkan oleh para doktor
untuk pesakit yang kekurangan sumber itu...
Sebagai contoh, sebiji pisang sepanjang 22 sentimeter (sm) mengandungi 600 miligram potasium.
Pakar perunding diet, Indra Balaratnam berkongsi maklumat berguna tentang khasiat buah pisang.
Menurut
Penolong Setiausaha Persatuan Pakar Diet Malaysia itu, kajian makmal
menunjukkan pisang mengandungi kanji sebanyak 20 peratus dan gula satu
peratus.
“Ketika pisang berubah warna menjadi kuning dan sedia
untuk dimakan, kandungan gula akan berpecah kepada 66 peratus sukrosa,
14 peratus fraktosa, dan 20 peratus glukosa.
“Pada amnya, pisang bebas daripada lemak, kandungan garamnya rendah serta kaya dengan vitamin serta potasium.
“Ini menyebabkan semua jenis pisang dikategorikan sebagai berkhasiat.
“Apatah lagi ia senang untuk dimakan dan dihadam khususnya oleh bayi berusia enam bulan dan ke atas.
Khasiat
“Tidak
ada kesan sampingan pada kesihatan walaupun pisang itu manis kerana
kandungan gula dalam pisang adalah semula jadi,” katanya.
Kata beliau lagi, terdapat perbezaan antara pisang yang dimakan begitu sahaja dengan kerepek pisang atau pisang goreng.
Menurut beliau, pisang yang digoreng atau dibuat kerepek mengandungi lemak.
Jadi, adalah selamat jika pengambilan pisang goreng dikurangkan kepada seminggu sekali atau sebulan sekali.
Jika
digoreng, kandungan khasiat serta vitamin dan zat-zat lain dalam pisang
akan berkurangan sebaliknya kandungan lemak akan bertambah.
Ujar
beliau, pisang juga dianggap penting dalam bidang perubatan. Di
Thailand, misalnya, wanita hamil digalakkan oleh doktor untuk makan
pisang bagi memudahkan proses bersalin. Ia juga membekalkan tenaga bagi
melawan dan menyembuhkan penyakit.
Beberapa kajian antarabangsa mendapati hampir 15 jenis masalah kesihatan boleh dikurangkan dengan memakan pisang.
“Antaranya,
penyakit anemia iaitu kekurangan hemoglobin dalam darah boleh diatasi
dengan memakan pisang kerana ia membantu meningkatkan pembentukan
hemoglobin.
“Kandungan potasium tinggi dalam pisang turut menolong merendahkan tekanan darah serta mengurangkan risiko strok,” jelas beliau.
Tambah beliau, selain itu, kandungan fibernya yang tinggi dapat membantu masalah pembuangan air besar secara normal setiap hari.
Ia
turut mengurangkan tekanan kerana sejenis protein dikenali sebagai
Trytophan yang ada di dalamnya membantu menenangkan fikiran serta otak
orang yang berada dalam tekanan.
Katanya lagi, orang yang
bergelut dengan penyakit ketakutan, obesiti dan tabiat rokok, digalakkan
mengamalkan pemakanan pisang dan mereka dipercayai mampu bebas daripada
masalah itu secara beransur-ansur.
Kajian turut membuktikan
bahawa seseorang yang berdepan masalah mabuk hamil khususnya wanita yang
berasa mual dan muntah pada beberapa bulan pertama kehamilan, boleh
mengambil pisang untuk mengelak masalah itu.
Di samping itu,
mereka yang menghadapi masalah kegemukan akibat tekanan di tempat kerja
boleh diatasi dengan memakan pisang setiap dua jam.
Ia dapat
membantu menghilangkan tekanan kerja selain mengawal kandungan gula
dalam darah. Bahagian dalam kulit pisang pula membantu memulihkan
kegatalan akibat gigitan nyamuk.
“Apa yang penting, kita perlu memberi tumpuan pada kesihatan dengan mengamalkan tabiat makan pisang.
“Bagi
anak-anak, kita sangat mudah untuk menyuruh mereka makan pisang kerana
ia manis dan lembut. Ia boleh disediakan dalam bentuk kek, mufin dan
roti pisang,” katanya.
Laris
Pisang boleh diperoleh
sepanjang tahun. Di negara ini, pisang rastali, emas, tanduk, abu dan
berangan adalah yang paling laris. Ia turut menjadi tumpuan peniaga
pisang goreng dan kerepek.
Seorang peniaga buah-buahan di Pasar
Keramat, Kuala Lumpur, Ramli Mat Dalip, 42, berkata, pisang sentiasa
menjadi pilihan orang ramai dan ia adalah salah satu buah yang boleh
didapati sepanjang tahun.
Kata beliau yang berniaga sejak 15 tahun lalu, pisang berangan dan abu sering dibeli peniaga kerepek atau kuih.
Bagaimanapun,
katanya, pisang emas dan berangan memang laris dijual dan dibeli
pengguna kerana rasanya manis dan boleh dimakan begitu sahaja.
“Dari
segi harga, tidak banyak perbezaan kerana harga pisang mengikut
jenisnya iaitu dijual sekitar RM2.80 hingga RM3 sekilogram.
“Permintaan terhadap pisang pada musim perayaan khususnya Tahun Baru Cina, Hari Wesak dan Deepavali juga memberangsangkan.
“Pengguna kerap datang meminta pisang emas dan rastali kerana saiznya kecil iaitu di antara tujuh hingga 10 sm.
“Mereka akan menggunakan pisang itu dalam upacara sembahyang selain untuk dimakan,” katanya.
Sementara
itu, seorang lagi peniaga Romlah Ahmad, 31 menjelaskan, berbanding
buah-buahan lain khususnya yang diimport, pisang tidak menghadapi
masalah kenaikan harga.
“Pisang tidak menghadapi masalah itu.
Harganya di mana sekali pun lebih kurang sama iaitu kekal sekitar RM2.80
hingga RM3.50 sekilogram.
“Lagipun pisang dikatakan paling
berkhasiat dan kaya dengan zat dan vitamin. Tidak hairanlah jika orang
ramai gemar memakannya,” katanya.
Dalam pada itu, seorang
pensyarah sebuah kolej swasta di ibu negara, Daljit Kaur, 36, berkata,
beliau dan keluarga gemarkan pisang kerana kebaikan yang diperoleh
daripada buah tersebut.
Katanya, sejak kecil lagi beliau suka
makan pisang dan pernah sekali beliau berdepan dengan seorang rakan yang
mempunyai masalah kekurangan hemoglobin dalam darah dan mencadangkan
supaya dia makan pisang untuk mengatasi masalah tersebut.
“Selepas
itu, saya dapati kesihatannya bertambah baik bahkan setahun kemudian,
boleh dikatakan dia bebas sepenuhnya daripada masalah itu.
“Selain itu, ketiga-tiga anak saya yang berusia di antara enam hingga 13 tahun juga gemar makan pisang setiap hari.
“Mereka nampaknya sihat dan tidak menghadapi kesukaran untuk membuang air besar lagi,” katanya.
Sumber dari : http://hospbm.moh.gov.my/modules/news/article.php?storyid=83
No comments:
Post a Comment